LIVERPOOL – Harapan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp untuk mendapat perlawanan ulangan menentang Tottenham Hotspur terhadap kekalahan 1-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu berkemungkinan besar sukar direalisasikan.
The Reds dinafikan gol selepas pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR), Darren England melakukan kesilapan dan gagal memberitahu pengadil, Simon Hooper supaya mengubah keputusan membatalkan jaringan Luis Diaz kerana ofsaid.
Pentadbir Pengadil Profesional Liga Perdana Inggeris (PGMOL) kemudiannya memohon maaf terhadap kesilapan tersebut dan mengeluarkan audio mengenai insiden yang berlaku di Stadium Tottenham Hotspur itu.
“Pendedahan audio itu tidak mengubah apa-apa tetapi penting untuk menanganinya dengan cara yang betul. Semua yang terbabit iaitu pengadil, penjaga garisan, pegawai keempat dan VAR melakukan satu kesilapan yang jelas.
“Saya katakan ini bukan atas kapasiti pengurus Liverpool tetapi sebagai orang bola sepak. Saya fikir satu-satunya cara untuk menyelesaikan perkara ini adalah perlawanan ulangan, mungkin ia tidak akan berlaku,” kata Klopp.
Undang-undang menetapkan aksi yang telah berlangsung tidak boleh dibatalkan disebabkan keputusan salah melibatkan VAR walaupun ada peruntukan perlawanan semula dalam buku panduan EPL di bawah peraturan L.18.
Bagaimanapun, hanya aksi dalam saingan piala pernah dimainkan semula disebabkan beberapa faktor seperti pasukan melakukan terlalu banyak pertukaran atau menurunkan pemain yang tidak dibenarkan beraksi.
Contoh terbaik adalah aksi Piala FA antara Arsenal dan Sheffield United pada 1999 menyaksikan Arsene Wenger meminta perlawanan diadakan semula selepas pasukannya menjaringkan gol dengan cara yang salah. – AGENSI