LEIPZIG – Mentaliti positif yang ada pada pemain gantian menjadi nadi utama kepada kejayaan Manchester City ketika berjaya menewaskan RB Leipzig pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Bagaimanapun, The Citizen terpaksa menunggu 10 minit terakhir untuk mendapatkan dua gol penting menerusi Julian Alvarez dan Jeremy Doku sekaligus mengubat kecewa yang dialami dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Kami bermain dengan baik di semua bahagian. Selepas lima minit, kami mula kawal permainan dengan melakukan banyak hantaran dan melaksanakan tugas dengan sempurna.
“Semua orang lakukan tugas dengan baik di mana pemain gantian masuk ke padang dengan penuh senyuman, mereka tidak kisah tidak berada dalam kesebelasan utama.
“Saya tidak akan menilai pasukan berdasarkan keputusan perlawanan lalu. Kekalahan sebelum ini bukanlah yang baik buat kami, tetapi ia berlaku. Namun, masih ada banyak lagi perlawanan,” kata Guardiola.
Terdahulu, Phil Foden memastikan babak pertama menjadi milik City, namun Lois Openda kembali menyamakan kedudukan yang dilihat berjaya beri tekanan kepada Guardiola.
Kejayaan ini melengkapkan permulaan sempurna buat Guardiola untuk mendahului Kumpulan G dengan mata maksimum. – AGENSI