CYBERJAYA – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merampas pelbagai barangan peranti perubatan tidak berdaftar dengan nilai mencecah RM500,000 sepanjang lima operasi dijalankan di seluruh negara sejak Januari lalu.
Daripada jumlah rampasan itu, kondom merupakan peranti tertinggi tidak berdaftar dijual di pasaran selain sarung tangan pakai buang, kanta sentuh dan gajet tekanan darah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. P. Muralitharan berkata, MDA bertindak membatalkan lesen melibatkan dua buah syarikat manakala sebanyak 12 lagi syarikat digantung lesen atas pelbagai kesalahan.
“Lebih 12 syarikat yang digantung itu, sembilan sudah pun dikembalikan lesen untuk mereka dibenarkan beroperasi semula manakala lima lagi masih digantung selain ada dihadapkan ke mahkamah kelak di bawah pelbagai jenis kesalahan menurut Akta 737,” kata beliau dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Muralitharan berkata, MDA melakukan operasi serbuan pada 13 September lalu ke atas sebuah syarikat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang berdegil mengedarkan peranti selepas mendapati syarikat berdaftar tersebut masih ingkar menjual barangannya setelah digantung pada 6 Julai lalu.
Antara disita itu meliputi sejumlah tujuh kotak sarung tangan pemeriksaan lateks, 33 kotak picagari tanpa jarum, 90 kotak lancet darah dan 146 kotak wooden tongue depressor.
Turut dirampas, tiga kotak jarum pakai buang selain 1,098 unit spandex crepe bandage dan sembilan set dokumen dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000. – KOSMO! ONLINE