BAGAN SERAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kerian sedang mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang bayi perempuan yang berusia lingkungan tiga bulan.
Pegawai Pelindung Daerah Kerian, Nurul Anis Mohd. Amin berkata bayi tersebut diserahkan oleh seorang wanita berusia 58 tahun kepada JKM Daerah Kerian pada 11 September yang lalu.
“Menurut pengadu, seorang perempuan yang ditemani seorang lelaki telah datang menemuinya pada 28 Ogos lalu meninggalkan bayi tersebut kepadanya dengan harapan dia dapat membantu menjaga bayi berkenaan buat sementara waktu.
“Tanpa berfikir panjang, pengadu telah mengambil dan menjaga bayi perempuan itu selama 15 hari sebelum diserahkan kepada JKM Daerah Kerian pada 14 September lalu,” katanya kepada pemberita di Pejabat JKM Daerah Kerian di sini hari ini.
Menurut Nurul Anis, bayi tersebut ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri oleh pasangan tersebut.
“Ketika diperiksa, bayi itu dalam keadaan sihat tanpa sebarang cacat cela dan mempunyai tanda suntikan BCG (basillus calmette-gurin). Kami telah ke rumah pengadu bagi menerima bayi itu sebelum dia dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak di Kuala Kangsar,” katanya.
Tambahnya, hebahan pencarian waris telah dibuat di media sosial Facebook rasmi JKM Daerah Kerian.
“Sehingga kini kita belum dihubungi oleh waris atau ibu kandung atau yang mengetahui tentang kelahiran bayi ini.
“Kita merayu kepada orang ramai yang mungkin tahu tentang bayi perempuan ini atau ibu kandungnya untuk menghubungi saya di talian 05-721 2645 untuk urusan dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE