KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki tempatan ‘menyelamat’ pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dengan alasan kononnya itu orang gajinya digagalkan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa di sini, semalam.
Lelaki berusia 40-an itu turut menunjukkan pasport milik ‘orang gajinya’, namun kecekapan pihak polis menjalankan tugas bertindak merampas dokumen tersebut susulan alasan yang diberi mencurigakan.
Dalam serbuan sama, turut didapati seorang wanita bersembunyi di ruangan kompresor penyaman udara untuk meloloskan diri, namun gagal selepas taktiknya dihidu anggota penguat kuasa.
Serbuan itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan risikan dijalankan sejak lima hari lalu.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, terdapat kira-kira 50 pelanggan sedang berhibur di premis tiga tingkat berkenaan.
“Kita menahan 32 wanita warga asing disyaki GRO berusia lingkungan 18 hingga 40-an yang mana enam daripadanya warga China, manakala 26 lagi merupakan warga Vietnam.
“Turut ditahan ialah dua wanita masing-masing warga China dan Vietnam berusia 51 serta 36 tahun yang disyaki sebagai ‘mummy’ selain penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, siasatan mendapati rumah kedai yang diubah suai menjadi pusat hiburan itu telah mula aktif sejak Mei lalu.
Katanya, premis yang beroperasi di tingkat satu itu dilengkapi dengan pub dan tiga bilik untuk pelanggan berkaraoke yang dibuka seawal pukul 3 petang hingga pukul 1 pagi.
“GRO berperanan sebagai pelayan pelanggan ketika berhibur dan minum berdasarkan nilai tip yang diterima,” ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE