CHORZOW – Meskipun menang 2-1 ke atas Poland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Slaski awal pagi semalam, namun ia masih belum memuaskan hati pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum.
Bagaimanapun, skuad kendalian Frank de Boer itu ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan Kamil Jozwiak sebelum Belanda bangkit menerusi gol Wijnaldum dan Memphis Depay.
Kata Wijnaldum, dia dan rakan sepasukan gagal menampilkan aksi dimahukan, terutamanya pada separuh masa pertama apabila membenarkan pasukan tuan rumah menguasai perlawanan.
“Walaupun kami gagal bermula dengan baik, namun bagi saya ini adalah perlawanan terbaik pernah ditampilkan Belanda. Kami gagal bermain baik kerana tempoh latihan yang terlalu singkat.
“Banyak yang perlu kami perbaiki sekiranya mahu mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejuaraan Eropah (Euro) nanti. Kami tidak boleh ulang kesilapan seperti ini,” kata pemain Liverpool itu.
Sementara itu, De Boer menyatakan kekecewaan apabila skuad kendaliannya tidak mengendahkan amaran mengenai kemampuan pasukan Poland, namun tetap gembira dengan aksi keseluruhan.
“Saya sudah beri amaran kepada semua pemain bahawa Poland akan buktikan sesuatu pada perlawanan ini. Kami sepatutnya menampilkan aksi lebih berkualiti seawal minit pertama perlawanan,” tegas beliau. – AGENSI