fbpx

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau semasa keluar menyumpit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan tapak kaki harimau (kiri), manakala (kanan) motosikal mangsa yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik, Gua Musang semalam. - Foto IHSAN PENDUDUK

GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham seekor harimau ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin.

Mayat, Pisie Amud, 25, dari Kampung Sugi, Pos Pasik telah ditemui penduduk kampung semalam dengan kesan cakaran haiwan liar tersebut pada bahagian kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berkata, dia dimaklumkan bahawa mangsa tidak pulang selepas keluar menyumpit kelmarin.

Katanya, dua penduduk kampung keluar mencari mangsa di atas kawasan bukit Kampung Perwer yang bersempadan dengan ladang kelapa sawit kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Penduduk kampung menemui motosikal dan peralatan menyumpit mangsa sebelum turut melihat kesan tapak kaki harimau di lokasi kejadian.

“Saya bersama 10 orang penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian sejam kemudian. Berpandukan kesan tapak harimau terbabit, saya bersama tiga penduduk bergerak sejauh 500 meter sebelum menjumpai mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Penduduk Orang Asli berkawal di kawasan penemuan mayat mangsa di Pos Pasik, Gua Musang hari ini. – Foto IHSAN PENDUDUK

Mohd. Sani memberitahu, sehubungan itu, seramai 20 orang penduduk mula berkawal di kawasan mayat terbabit ditemui bermula pukul 9 malam tadi.

“Penduduk bergilir-gilir menjaga mayat mangsa sebelum pihak berwajib datang untuk mengambilnya pagi ini.

“Bagaimanapun, harimau belang itu dipercayai datang semula ke kawasan tersebut kira-kira pukul 4 pagi tadi untuk mengambil mayat mangsa apabila mereka terdengar bunyi pergerakan haiwan tersebut.

“Orang Asli yang berkumpul di situ terus membuat bising dengan memasang mercun untuk menghalau harimau terbabit. Kami percaya harimau itu masih berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dijalankan pagi ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI