fbpx

Insiden Siam Paragon: Pengunjung pengsan dalam tandas kerana takut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menggari suspek yang menyerah diri setelah melepaskan tembakan di Siam Paragon, kelmarin. - AFP

BANGKOK – Orang ramai berpusu-pusu melarikan diri setelah mendengar bunyi tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, Thailand, lokasi di mana seorang remaja 14 tahun diberkas kerana melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan dua nyawa.

Saluran berita Channel News Asia melaporkan, saksi menyifatkan situasi menjadi huru-hara ketika serangan itu berlaku dengan orang ramai menjerit dan terus berlari tanpa henti.

Thanpawasit Singthonkham, 31, yang bekerja di sebuah restoran makanan Jepun di pusat beli-belah itu berkata, sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan), dia terdengar bunyi tembakan pistol yang kuat dan berterusan sebanyak kira-kira 10 kali.

“Pengurusan pusat beli-belah kemudian mengumumkan bahawa berlakunya insiden tembakan. Papan tanda kecemasan dihidupkan dan semua orang berlari keluar,” katanya.

Thanpawasit turut berkongsi sebuah video memaparkan situasi di mana pelanggan yang ketakutan bersembunyi di bawah pagar keselamatan di pintu masuk kedai, sebelum mereka menuruni tangga kecemasan ketika siren berbunyi.

Seorang suri rumah, Nucharee Sorntong, 50, memberitahu bahawa dia pada awalnya keliru mengenai kejadian yang berlaku ketika berada di tingkat lima pusat beli-belah itu untuk menghadiri satu acara.

“Mereka memberitahu bahawa berlakunya kejadian tidak diingini. Pada mulanya saya tidak memahaminya, namun saya kemudian menyemak berita online,” katanya. Nucharee kemudian pengsan di tandas kerana terlalu takut.

Ketua Polis Negara, Torsak Sukvimol berkata, dalam kejadian tersebut, dua mangsa iaitu warga China dan Myanmar terbunuh, manakala lima lagi cedera.

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki bersenjata telah ditangkap. Video menunjukkan suspek berambut panjang dan memakai baju hitam, cermin mata serta topi.

“Dia ialah pesakit gangguan mental di Hospital Rajavithi dan belum mengambil ubatnya. Dia memberitahu bahawa ada seseorang  memberitahunya untuk menembak,” kata Torsak.

Sebuah sekolah swasta, The Essence terletak hanya beberapa meter dari Siam Paragon, mengesahkan bahawa suspek ialah salah seorang pelajarnya dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, akhbar Nation Thailand melaporkan, seorang sumber polis memberitahu bahawa suspek mengaku ketagih bermain permainan video menembak ketika disoal siasat.

Remaja itu juga turut pernah berkongsi gambar peluru serta video menunjukkan dirinya berlatih menggunakan senjata api dalam kumpulan sembang WhatsApp. 

Suspek kini ditahan dan diarah menjalani ujian psikiatri untuk melihat sama ada dia sihat untuk dibicarakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berikrar akan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

“Saya pasti pihak pengurusan Siam Paragon dan pegawai-pegawai kerajaan melakukan yang terbaik untuk meminimumkan angka kematian dan kemusnahan.

“Kita berharap agar kejadian seperti ini hanya berlaku kali ini. Kerajaan akan memberi keutamaan untuk mengambil tindakan pencegahan,” katanya tanpa memberikan maklumat lanjut. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI