fbpx

Pondok jadi tempat berteduh empat beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Mariam bersama anaknya di hadapan pondok yang dihuni mereka di pinggir Kampung Bukit Hijau, Kupang baru-baru ini.

BALING – Akibat kemiskinan, sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan mereka terpaksa mendirikan sebuah pondok di pinggir Kampung Bukit Hijau, Kupang, di sini sebagai kediaman mereka sejak lapan tahun lalu.

Dengan pondok bertiang kayu hutan, berdindingkan zink dan lantai serta bumbung daripada barangan terpakai itu, di situlah mereka empat beranak berteduh daripada hujan dan panas.

Siti Mariam Razali, 34, berkata, suami, Zaifulrizan Zakaria, 43, terpaksa membina pondok itu kerana tidak mampu menyewa atau membina rumah selain malu untuk terus menumpang di rumah ibunya.

“Suami hanya bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit de­ngan pendapatan RM1,500 sebulan, itupun jika dapat kait banyak buah, kalau tiada buah, hanya RM800 upah yang dia dapat,” katanya ketika ditemui.

Siti Mariam berkata, suaminya baru lapan bulan be­kerja sebagai pengait buah kelapa sawit dan sebelum ini hanya kerja kampung mengikut permintaan orang kampung dan pendapatannya juga tidak menentu.

Sebelum ini, mereka tinggal di Tawar, di sini, kerana suaminya bekerja di sana sebelum berpindah dan tinggal di rumah ibu.

“Sembilan tahun tinggal di pondok ini, didirikan atas tanah ibu setelah beberapa tahun kami tinggal serumah.

“Sebelum ini kami ada minta bantuan rumah daripada pejabat zakat, tetapi kami jarang balik ke pondok ini sebab tinggal di rumah ibu, jadi permohonan itu senyap begitu sahaja.

“Kalau boleh kami hendak mohon semula bantuan sebuah rumah buat kami anak beranak menumpang teduh,” ujarnya.

Katanya lagi, dia sedih apabila melihat anak-anak yang berusia 5 dan 9 tahun tidur dalam kea­daan tidak selesa kerana ruangan pondok yang sempit dan tiada bilik, malah jika hujan bumbung rumah pula bocor.

“Pondok ini tiada bekalan elektrik serta tandas. Jika terdesak kami akan menggunakan tandas di rumah ibu yang jauhnya lebih kurang 200 meter sahaja dari pondok ini.

“Apabila malam, kami guna lampu yang boleh dicaj. Setiap hari kena cas di rumah ibu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun BSN 0200541100025603 atas nama Zaifulrizan Zakaria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI