LUMUT – Aktiviti melombong pasir dan membawa keluar bahan itu di kawasan pendaratan penyu di pantai Pasir Panjang, Segari dibenarkan selepas syarikat terbabit berjaya memenuhi syarat lesen ditetapkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh, berkata di peringkat pihaknya, syarikat tersebut telah berjaya memperolehi kelulusan berkaitan alam sekitar untuk kerja-kerja itu dibenarkan.
“(Syarat lesen) perkara utama melibatkan elemen (kelulusan) Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang perlu diserahkan (kepada MPM) dan pihak pemaju (syarikat) telah berjaya memperolehi EIA tersebut.
“Saya tidak boleh mengulas bidang kuasa pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), pada peringkat kita kelulusan hanya diberikan jika berjaya memenuhi syarat-syarat EIA, dan mereka berjaya memperolehinya (diluluskan JAS),” katanya kepada pemberita majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kegiatan melombong pasir dan membawa keluar bahan itu menggunakan tongkang di pantai Pasir Panjang Segari, bermula 25 September lalu.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mengesan kegiatan aktiviti melombong pasir dan membawa keluar bahan itu menggunakan jalan laut bermula malam 25 September sehingga awal pagi keesokannya.
Berikutan itu, Kuasa membuat laporan di Balai Polis Segari pada pagi 26 September.
Aktiviti itu dikesan dan dibantah oleh aktivis alam sekitar kerana kawasan pantai itu adalah lokasi utama pendaratan penyu di Perak yang difahamkan dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1). – KOSMO! ONLINE