GEORGE TOWN – Kegiatan licik seorang juruelektrik yang mengambil upah membawa dadah jenis syabu bernilai RM5.187 juta ke negeri ini terbongkar apabila diberkas semasa memindahkan bahan terlarang itu di kawasan perindustrian Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini, semalam.
Tangkapan suspek berusia 34 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPD SPS), kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Suspek yang dikatakan sudah berkahwin itu diberkas semasa memindahkan dadah dari sebuah kereta jenis Honda HRV yang dinaikinya ke dalam kereta jenis Perodua Bezza.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, hasil pemeriksaan kedua-dua kereta tersebut telah menjumpai enam guni dengan tulisan Thailand yang berisi 150 bungkus dadah jenis syabu seberat 157.2 kilogram dalam paket minuman teh Cina.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek tersebut berperanan sebagai transporter untuk membawa bekalan dadah dipercayai dari Thailand itu ke negeri ini serta ke Lembah Klang.
“Hasil saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif sebarang pengambilan dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini, petang ini.
Difahamkan, suspek mendapat upah sebanyak RM5,000 bagi setiap penghantaran dan menggunakan sewa ketika menjalankan aktiviti tersebut.
Beritahu Kok Chin, suspek kini direman selama selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jumlah dadah tersebut boleh digunakan kira-kira seramai 926, 000 bilangan penagih.
Dalam pada itu, tambahnya, polis percaya kegiatan suspek tersebut bukanlah kali pertama dan siasatan lanjut termasuk mengesan rakan sindiket pengedaran dadah itu masih dijalankan. -KOSMO! ONLINE