fbpx

Belanjawan 2024 bantu peniaga, tingkat pelaburan domestik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu selari dengan pelan Naratif Ekonomi Madani (NEM) sekali gus meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI).

Menurutnya, dua perkara tersebut (PKS dan DDI) merupakan antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kerajaan akan terus memperbanyakkan usaha untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) tetapi kita juga melihat kepada DDI sebagai salah satu KPI kerajaan.

“Ini kerana kita tahu perniagaan di Malaysia terutama PKS memerlukan banyak dukungan selepas berdepan dengan pandemik serta berada dalam keadaan ekonomi global yang agak perlahan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Penghantaran Serantau (RDC) Allianz Asia, di Hotel Aloft, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2024 yang dirangka menerusi agenda NEM mempunyai dua teras utama iaitu menaikkan siling dan lantai ekonomi.

“Menaikkan siling maksudnya bagaimana kita dapat menstrukturkan semula ekonomi supaya PKS boleh bersaing dalam sektor yang lebih bernilai tinggi bukan sahaja di peringkat Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, menaikkan lantai pula merujuk kepada taraf hidup dan kualiti kehidupan rakyat. Jadi, dua teras ini merupakan antara prinsip yang digunakan untuk merangka belanjawan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI