fbpx

12 hari bicara kes Muhammad Sanusi pada Februari 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. Foto oleh SHIDIQQIN ZON/ KOSMO!

SELAYANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 12 hari bermula Januari dan Februari 2024 bagi perbicaraan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah Julai lalu.

Tarikh-tarikh ditetapkan itu ialah 18 dan 19 Januari yang akan kemudian bersambung pada 5, 8,9,12,13,15, 16, 19, 22 dan 23 Februari 2024.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh-tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut.

“Dua pertuduhan akan dibicarakan sekali di mahkamah ini dan 12 hari untuk perbicaraan kes,” kata hakim itu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula dalam prosiding hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut .

Kesalahan itu dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara di sini pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan pindaan itu, Muhammad Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada prosiding awal Hakim Mahkamah Sesyen lain, Osman Affendi Mohd. Shalleh membenarkan kes sama yang dihadapi Muhammad Sanusi di mahkamahnya digabungkan untuk dibicarakan bersama di hadapan hakim Nor Rajiah.

Hakim, Osman Affendi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan berhubung perkara itu dan ia tidak dibantah pasukan pembelaan.

“Ini kerana, ia melibatkan kejadian teks dan saksi yang sama, maka wajarlah kes ini dibicarakan secara bersama,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan seramak 10 saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes berkenaan.

Selain Masri, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Rata Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar.

Sementara Muhammad Sanusi diwakili sembilan barisan peguam yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Menurut Razarudin, siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media turut melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis berhubung isu menghina institusi Diraja Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, laporan dibuat pada 14 Julai lalu itu adalah susulan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramahnya.

Katanya, kenyataan itu dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Datuk Menteri Besar Selangor.

Sultan Sharafuddin juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” jelasnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI