fbpx

MSAM 2023: Konsep hibah semakin difahami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haslina (dua dari kiri) berkongsi penerangan berhubung konsep hibah sempena MSAM 2023 di Setia Fontaines, Bertam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Orang ramai semakin memahami kepentingan pelan hibah dalam kehidupan yang bakal memudahkan perancangan kewangan dan harta sekiranya individu terutamanya ketua keluarga meninggal dunia.

Pengurus Agensi El-Sham, Haslina Hashim berkata, caruman hibah penting kerana ia membabitkan kehidupan dua pihak iaitu si mati dan orang yang ditinggalkan.

“Hibah adalah pemberian pencarum kepada orang lain atau pihak tertentu dan pembahagian hibah itu dilakukan saat pemberi masih hidup. Hibah tidak termasuk dalam pembahagian faraid dan kita boleh hadiahkannya kepada sesiapa sahaja termasuklah anak angkat.

“Sekiranya pencarum ditimpa musibah dan meninggal dunia, sejumlah wang yang ditinggalkan sekurang-kurangnya dapat membantu memudahkan waris dan ahli keluarga dalam urusan harian termasuklah melangsaikan hutang tertunggak pencarum,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di ruang pempamer sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, Bertam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang takaful berkata, tahap kesedaran umum berhubung hibah semakin meningkat.

“Ramai yang berminat untuk mengetahui mengenai caruman hibah dan kita berperanan untuk membantu memastikan mereka menerima maklumat yang diperlukan.

“Kita mahu lebih ramai memahami kepentingan mencarum hibah menggunakan kaedah terbaik berdasarkan situasi kewangan masing-masing dan kita tidak mahu masalah berpanjangan membabitkan harta selepas berlaku kematian semakin bertambah.

“Justeru, masyarakat perlu didedahkan dengan cara pengagihan harta semasa hidup bagi memudahkan kedua belah pihak,” katanya.

MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari sehingga 8 Oktober ini turut menampilkan gerai-gerai rakan korporat MSAM 2023, syarikat strategik dan teras terpilih sekali gus membolehkan pengunjung memahami bagaimana hasil pelaburan dalam syarikat-syarikat ini diperoleh dan diedarkan kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan.

Antara rakan korporat MSAM 2023 adalah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Hol­dings Berhad, S P Setia Berhad selaku Rakan Premier.

Selain itu, Rakan Utama MSAM 2023 adalah Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Perodua, MNRB Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, manakala Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. dalam kategori Rakan.

MNRB Holdings Berhad adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan dan antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad, Takaful Ikhlas Family Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI