BAGAN SERAI – Lima nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Kurau antara pukul 5.10 hingga 5.25 petang kelmarin di sini kerana bekerja sebagai nelayan secara tidak sah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dan dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan tiga nelayan warga Myanmar termasuk tekong, manakala di bot kedua seramai empat orang nelayan termasuk tekong dan dua daripadanya warga Myanmar serta selebihnya nelayan tempatan.
“Kesemua mereka berumur 13 hingga 41 tahun dan kelima-lima nelayan Myanmar terbabit merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kedua-dua bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran menggunakan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah,” katanya.
Tambah beliau, APMM menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.
“Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE