fbpx

Tiada siapa yang hilang, masalah telefon rosak punca tidak dapat dihubungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURAIDAH bersama Muhammad Aiman Rafee dan dua orang cucunya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Lambak, Kluang hari ini.

KLUANG – Wanita yang dikhuatiri hilang bersama anak serta dua cucunya ketika bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu selepas gagal dihubungi sejak Sabtu lalu memaklumkan telefon yang dibawa mereka rosak menjadi punca komunikasi terputus.

Suraidah Abdul Ghani, 55, berkata demikian ketika ditemui selepas selamat pulang ke kediamannya di Taman Sri Lambak di sini lewat petang tadi.

Menurutnya, mereka berempat bergerak ke Terengganu menaiki Proton Saga pada Khamis lalu untuk bercuti selama lima hari di sana dan merancang untuk pulang ke Kluang pada 3 Oktober.

Katanya, ketika melakukan aktiviti menyelam atas permukaan air atau snokeling, beg kedap udara yang digunakan untuk menyimpan telefon terkoyak dan telah dimasuki air.

“Keadaan itu menyebabkan telefon saya dan anak (Aiman) tidak dapat dihidupkan semula namun Aiman cuba menghubungi kakaknya mengguna iPad tetapi tidak dijawap,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Melihat keadaan itu, Suraidah mengambil tindakan mendaftar keluar awal dari resort yang diinapi iaitu pada 1 Oktober tambahan pula cucunya, Sasa demam panas.

Ujarnya, selepas membawa cucunya mendapatkan rawatan mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu kerana telah berjanji kepada cucunya untuk melawat Masjid Kristal dan Muzium Terengganu.

“Kami berada di Kuala Terengganu pada Isnin dan mulakan perjalanan pulang ke Kluang pada pagi hari ini. Saya hanya menyedari berita yang tular mengenai kehilangan kami di Pulau Perhentian sebaik tiba di rumah pada 2 petang tadi. Saya tidak sangka ia tular,” katanya.

Semalam, tular hantaran oleh seorang pemilik akaun Facebook yang bimbang mengenai kehilangan dua anak, ibu serta adik lelakinya yang gagal dihubungi sejak Sabtu lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI