KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akan ada berita menarik bakal diumumkan mengenai pelaburan baharu tidak lama lagi membabitkan pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan itu lagi, berita tersebut akan diumumkan selepas rangka lawatan beliau ke UAE selama sehari selepas melawat Sabah esok.
“Malam esok, saya akan ke Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu) untuk lawatan satu hari.
“Beberapa hari lagi, Insya-Allah anda akan mendengar berita yang sangat menarik dari UAE, apabila pelabur negara berkenaan akan memberi tumpuan kepada Malaysia dan menjadikan negara kita sebagai hab pelaburan Arab utama di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Forum Khazanah Megatrends (KMF) hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pemimpin politik, profesional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memberi tumpuan kepada isu pusat dalam tadbir urus kerana akan menjadi teras dalam pengurusan ekonomi dengan lebih baik.
“Kejelasan dasar adalah penting sebelum bercakap mengenai keyakinan pelabur asing atau domestik. Kita sudah ada Ekonomi Madani, diikuti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Dengan kejelasan dasar saya yakin dengan masa depan negara.
“Kini Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana kerajaan telah tinggalkan cara lama dengan menyemak rancangan pembangunan lima tahun negara, tetapi kita membuat anjakan dan pelarasan dengan mempertimbangkan cabaran yang kita hadapi masa kini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.