PETALING JAYA – Gerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut agar kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 disegerakan untuk membendung gejala merokok dan penggunaan rokok elektronik yang semakin berleluasa.
Tambahnya, sekiranya dibiarkan berlarutan, gejala merokok dan rokok elektronik akan terus menular dan menjadi norma dalam kalangan masyarakat.
“Kini semakin ramai dibelenggu dengan komplikasi berkaitan merokok dan rokok elektronik yang memendekkan kualiti hidup dan produktiviti rakyat kita.
“Tambah pula, penggunaan rokok elektronik kini sudah dinormalisasi menjadi budaya yang mendekatkan mereka kepada aktiviti merokok secara halus,” katanya.
Menurut Hartal Doktor Kontrak, penyakit berkaitan aktiviti merokok meragut berbillion wang rakyat dan hampir 20,000 nyawa setiap tahun.
“Berbilion ringgit duit rakyat terus dilaburkan untuk mengatasi kompliaksi kesihatan berkaitan aktiviti merokok.
“Ini bukan sahaja satu bencana kesihatan, malah bencana keatas sistem ekonomi negara,” katanya.
Tambahnya, RUU Kawalan Produk Merokok Demi kesihatan Awam 2023 tersebut merupakan satu-satunya harapan negara untuk melahirkan generasi lebih sihat, bermula dari generasi 1 Januari 2007, turut dikenali sebagai Generasi End Game (GEG).
“Kami tidak merayu, tetapi kami menuntut dengan sepenuh harapan agar semua Ahli Parlimen dan pentadbiran Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak lagi berfikir panjang dan segerakan proses penggubalan RUU ini.
“Setiap saat dilengahkan, semakin ramai terancam. Kami akan terus menyeru agar tiada lagi masa dibazirkan, demi Malaysia yang lebih sihat dan mapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE