KUALA LUMPUR -Penemuan kad pengenalan rakan lelaki yang baru dikenali di media sosial menyedarkan seorang jurugambar wanita bahawa dirinya telah diperdaya ketika keluar bercuti bersama di sebuah pusat peranginan di Pahang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, wanita tempatan tersebut berkenalan dengan seorang lelaki tempatan yang mengenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan syarikat minyak di Sarawak melalui aplikasi X, sejak 21 Jun lalu.
Katanya, mangsa yang berusia 36 tahun itu telah berjumpa dengan suspek beberapa kali di sekitar Puchong serta Kuala Lumpur sebelum menjalinkan hubungan rapat seakan kekasih.
“Mengambil kesempatan atas hubungan itu, suspek meyakinkan mangsa bahawa dirinya mempunyai masalah perniagaan dan mahu meminjam wang. Ekoran itu, sebanyak 15 kali pemberian wang tunai bernilai sekitar RM18,800 diberikan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anbalagan, pada 29 September, ketika pasangan itu keluar cuti bersama, mangsa menemui kad pengenalan sebenar teman lelakinya itu yang mana butiran nama berbeza.
“Tindakan mangsa membuat carian di Google telah mendapati penama sebelum ini pernah menipu perempuan yang lain untuk menjadi kekasih,” katanya.
Mengulas lanjut, Anbalangan memaklumkan selepas terbongkarnya kegiatan suspek, mangsa menghubungi polis sebelum tangkapan dibuat pada pukul 8.30 malam, 29 Sept lalu
Katanya, suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) Serdang untuk siasatan lanjut dan suspek direman lima hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Modus operandi suspek yang tidak bekerja adalah berkenalan dengan wanita menerusi laman sosial dan memperdaya mangsa dengan mengatakan dia ahli perniagaan atau jutawan, sebelum meminjam wang mangsa bagi kegunaan peribadi.
“Pihak polis menyarankan sekiranya terdapat mangsa mengalami situasi sama supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.