fbpx

Tiga beradik ponteng sekolah jaga bapa terlantar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI yang terlantar akibat angin ahmar ditemani dua anaknya di Kampung Bukit Mok Lipoh, Melor di Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU – Tiga daripada lima beradik kadangkala terpaksa ponteng sekolah apabila mereka perlu bergilir-gilir menjaga bapa yang terlantar akibat angin ahmar sejak tujuh tahun lalu.

Kehidupan keluarga Ramli Ibrahim, 58, terumbang-ambing apabila isterinya hilang tanpa khabar berita pada 2018 selepas dua tahun dia terlantar.

Ramli berkata, sejak itu, tiga daripada lima anaknya yang berusia 7 hingga 19 tahun terpaksa ponteng sekolah apabila mereka perlu menjaganya.

Katanya, dua anaknya sudah tamat sekolah, manakala tiga lagi masih belajar di sebuah sekolah rendah di Pak Badol, di sini.

“Pergerakan saya yang terbatas menyebabkan dua anak yang masih bersekolah ketika ini bergilir-gilir ponteng sekolah ekoran tidak mahu meninggalkannya seorang diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Mok Lipah, Melor, di sini baru-baru ini.

Ramli memberitahu, dia bernasib baik apabila kesemua anak-anak mampu berdikari selain boleh memasak dan menjaga makan minumnya.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang rumah, tetapi sekarang tidak lagi selepas disahkan menghidap angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis.

“Selain bantuan ahli keluarga lain, saya enam beranak hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk menyara kehidupan,” ujarnya.
Ramli berkata, wang belanja harian sebanyak RM15 diperlukan untuk tiga orang anak sekiranya mereka pergi ke sekolah.

Menurutnya, meskipun terlantar sakit, dia kadangkala terpaksa mengikat perut untuk memberi laluan kepada perbelanjaan tiga anak untuk ke sekolah.

“Alhamdulillah, saya kini banyak dibantu oleh adik dan anak sulung, Mohd. Raihan, 19, yang sudah bekerja sebagai buruh. Perbelanjaan kami banyak ditanggung dua insan ini.

“Buat masa ini, kami sekeluarga memerlukan sebanyak RM1,500 sebulan untuk belanja makan minum dan tiga anak yang masih bersekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Raihan di talian 017-393 6039 atau menerusi akaun Bank Islam atas nama Ramli Ibrahim iaitu 03111020240912.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI