fbpx

Sukan Asia: Speedy Tigers buru penamat terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Malaysia, Firhan Ashari (tengah) gagal mengekang kemaraan pemain China ketika seri 4-4 pada aksi terakhir Kumpulan B kelmarin. - BERNAMA

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj menuntut anak-anak buahnya bangkit melupakan episod malang gagal melangkah ke separuh akhir dengan memburu penamat kelima terbaik Sukan Asia Hangzhou.

Speedy Tigers gagal mengotakan janji untuk memenangi pingat emas selepas menghuni tangga ketiga Kumpulan B gara-gara seri 4-4 dengan China dalam aksi terakhir di Stadium Gongshu Canal Sports Park malam kelmarin.

Kegagalan itu sekali gus meranapkan impian skuad negara untuk merebut slot selaku juara benua Asia untuk melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bermula Julai tahun depan.

“Kita akan duduk berbincang satu pasukan untuk melihat situasi sekarang. Kita masih tak pasti berapa slot ditawarkan sama ada empat atau lima daripada Sukan Asia ke kelayakan Olimpik.

“Jadi kita perlu cuba tamatkan Sukan Asia di kedudukan setinggi yang boleh iaitu tempat kelima. Perjuangan belum berakhir dan kita perlu berjuang merebut tempat ke kelayakan Olimpik nanti,” katanya.

Dalam aksi kelmarin, Malaysia, No.10 dunia, meraih empat gol menerusi jaringan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18, Ashran Hamsani (m-25), Amirul Hamizan Azahar (m-35) dan Faiz Helmi Jali (m-40).

Empat gol China yang merupakan pasukan No.22 dunia, diperoleh menerusi Gao Jiesheng pada minit ke-13, Chen Qijun (m-20), Pan Dongquan (m-36) dan Zhu Weijiang (m-43).

Keputusan seri itu membolehkan China dan Korea Selatan berjaya dua slot terbaik Kumpulan B ke separuh akhir, manakala skuad negara terpaksa bermain klasifikasi tempat kelima dan keenam menentang Pakistan pada Jumaat ini.

Kini, Speedy Tigers mempunyai peluang terakhir untuk layak ke Olimpik Paris 2024 apabila beraksi dalam kelayakan akhir Olimpik yang akan diadakan di Oman pada Januari tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI