KOTA TINGGI – Kehidupan sebuah keluarga 11 beranak yang hidup serba kekurangan sehingga menyebabkan enam daripada sembilan orang anaknya tidak bersekolah yang disiarkan akhbar Kosmo! sebelum ini akhirnya terbela selepas ramai tampil memberikan sumbangan.
ADUN Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, sehingga hari ini, pihak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) serta Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi sudah menemui Abdul Wahid Abd Rahman,48, dan keluarganya.
Katanya, hasil daripada pertemuan itu pelbagai bantuan akan diberikan kepada keluarga ini termasuk menguruskan pendaftaran semula untuk anak-anaknya bersekolah di sekolah berhampiran rumah pada tahun hadapan.
“Bagi pihak kami di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar akan terus memberikan perhatian kepada keluarga ini selain memberikan bantuan asas bulanan selama setahun.
“Diharapkan dengan usaha ini ianya akan dapat mengubah kehidupan keluarga ini kepada yang lebih baik berbanding sebelum ini,”katanya ketika menyerahkan sumbangan barang-barang keperluan harian yang disumbangkan oleh Pasaraya Econsave Pengerang hari ini.
Beliau turut berharap agar Abdul Wahid boleh mengatur perancangan untuk menguruskan kehidupan keluarganya selepas menerima bantuan daripada pelbagai pihak hasil daripada pendedahan pihaknya itu.
Sementara itu, Abdul Wahid langsung tidak menyangka dengan hanya sekali kunjungan oleh pihak pengurusan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar kehidupannya berubah 100 peratus dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Katanya, selain kunjungan daripada pelbagai agensi kerajaan, anak sulungnya yang berusia 20 tahun itu mendapat tawaran bekerja daripada Pasaraya Econsave Pengerang manakala dirinya turut ditawarkan bekerja oleh pihak Pertubuhan Peladang Negeri Johor.
“Apa yang dapat saya katakan hanya ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat.
“Hanya Allah yang mengetahui betapa kami amat berterima kasih atas apa yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana keperihatinan mereka membawa sinar masa depan kepada anak-anak kami,”katanya.-K! ONLINE