KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Pertahanan anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) membincangkan strategi bagi mempertingkatkan kualiti serta reka bentuk eksesais semasa persidangan kali ke-22 FPDA Defence Chiefs’ Conference (FDCC).
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, perkara tersebut dibincangkan berikutan kesedaran mengenai keperluan fleksibiliti dan kebolehsesuaian dalam tindak balas kepada dinamik landskap keselamatan.
Katanya, Kejayaan pelaksanaan Latihan BERSAMA SHIELD 2023 dan pandangan positif terhadap Latihan BERSAMA LIMA 2023 menunjukkan perpaduan dan kekuatan FPDA.
“Perkara utama yang dibincangkan dalam persidangan adalah mengenai Eksesais FPDA Arahan Konsep 2023 dan perbincangan hala tuju lima tahun kemajuan FPDA.
“Arahan tersebut akan membimbing evolusi eksesais FPDA dan inisiatif sekali gus meningkatkan kapasitinya dalam operasi konvensional dan bukan konvensional,” katanya dalam sidang akhbar selepas persidangan tersebut, di sini hari ini.
Selain itu, Mohammad berkata, Ketua-ketua Pertahanan turut menyatakan komitmen mereka terhadap FPDA dan prinsip penubuhannya dalam memastikan pertubuhan itu kekal relevan dan berkembang pada kadar yang selesa.
“Persidangan turut menekankan kepentingan 3R (Remit, Relevance, Reassurance) yang membimbing perkembangan FPDA dan pandangan masa hadapan. Selain turut menggariskan kepentingan FPDA sebagai pengatur yang telus, membina dan menggalakkan keamanan dalam keselamatan serantau.
“FPDA kekal relevan dengan menyesuaikan diri dalam cabaran keselamatan yang semakin berkembang, memperkukuhkan nilai operasi dalam sfera konvensional di samping membangunkan keupayaan dalam keselamatan maritim, memerangi keganasan, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana,” jelasnya.
Terdahulu, FDCC yang dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Singapura, berfungsi sebagai platform utama untuk dialog dan kerjasama antara Ketua Pertahanan dalam rangka kerja FPDA.
Persidangan kali ini menyaksikan penyertaan daripada Ketua Angkatan Pertahan Australia, Jeneral Angus Campbell; Ketua Pertahanan Pasukan New Zealand, Marshal Udara Kevin Short, Panglima Angkatan Pertahanan Singapura, Naib Laksamana Aaron Beng dan Naib Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Jeneral Gwyn Jenkins.
Dalam pada itu, Mohammad berkata, eksesais BERSAMA LIMA 2023 merupakan latihan perang meliputi strategi perang konvensional dan bukan konvensional.
“Eksesais ini melibatkan 2,500 anggota, 44 jet pejuang dan tujuh kapal sekaligus menunjukkan kesediaan ketenteraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE