fbpx

KDN warta perintah larangan penerbitan buku ‘When I Was A Kid 3’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buku ‘When I Was A Kid 3’ yang diwarta Perintah Larangan penerbitan oleh KDN.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan buku bertajuk ‘When I Was A Kid 3’ oleh Cheeming Boey selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

KDN dalam kenyataan berkata, Perintah Larangan itu dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 283 bertarikh 25 September lalu.

Katanya, perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ianya merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, KDN komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa selaras peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan.

“Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012), jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI