fbpx

Sani Express jual bas tampung operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Penyedia perkhidmatan bas penumpang, Sani Express Sdn. Bhd. mengambil pendekatan menjual dua buah bas dua tingkat sebagai pelan alternatif bagi menampung kos operasi harian mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kedua-dua bas tersebut adalah model Scania K124EB6X2 tahun 2009 dan Scania K420EB6X2 tahun 2011 yang mempunyai 48 tempat duduk akan dijual pada harga RM60,000 dan RM120,000 diiklankan menerusi akaun rasmi Facebook syarikat tersebut.

Penolong Pengurus (Operasi dan Pemasaran) Sani Express, Khairil Hazwan Hamzah berkata, setakat ini satu daripada bas itu telah dijual kepada seorang pelanggan dari Perak yang mahu menjadikannya sebagai restoran bergerak.

Katanya, jumlah penumpang yang menggunakan bas syarikat tersebut mencatatkan kemerosotan teruk sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak bulan lalu.

“Kita hanya menerima kira-kira 300 penumpang sehari berbanding 5,000 orang sebelum ini.

“Operasi masih diteruskan dengan 10 buah bas bagi penumpang yang mahu menuju ke destinasi di negeri Pantai Timur dan utara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Sani Express di Klang Sentral di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengutamakan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan dengan hanya membenarkan mereka mendapat surat pengesahan majikan dan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja dibenarkan menaiki bas untuk rentas daerah atau negeri.

Jelas Khairil, sanitiasi juga kerap dilakukan dengan penumpang tidak bimbang akan kebersihan di dalam bas tersebut selain melakukan saringan suhu.

Terdahulu, Sani Express memuat naik posting di akaun rasmi Facebook (FB) syarikat itu yang mengiklankan jualan dua bas dua tingkat pada harga RM60,000 dan RM120,000.

Harga asal bagi bas tersebut adalah di antara RM120,000 dan RM180,000. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI