JOHOR BAHRU – Warga pendidik merekodkan jumlah tertinggi dalam kalangan penjawat awam yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mengikut statistik sejak Januari hingga September lalu, sebanyak 117 daripada 388 laporan yang diterima membabitkan penjawat awam dalam kalangan guru.
Menurutnya, jumlah kerugian yang direkodkan dalam tempoh sama adalah RM4.24 juta.
“Hasil siasatan, kita mendapati bahawa guru di Johor ada lebih kurang 50,000 orang atau lebih. Mungkin itu menjadi salah satu sebab mengapa ramai guru menjadi mangsa.
“Justeru, menerusi ‘town hall’ yang kita lakukan, kita mendidik dan memberi penerangan supaya dapat mengelakkan mereka menjadi mangsa ‘scammer’,” katanya selepas merasmikan Program Town Hall Discussion ‘Ancaman Scammer Masa Kini’ di Dewan Muafakat, Menara Bank Simpanan Nasional Negeri Johor hari ini.
Kamarul Zaman berkata, dalam tempoh sama, nilai kerugian penipuan dalam talian membabitkan penjawat awam adalah sebanyak RM10 juta.
Kerugian itu merekodkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak RM109 juta.
“Walau bagaimanapun jumlah laporan yang diterima bertambah iaitu 388 kes berbanding 322 kes pada tahun lalu.
“Pelbagai helah sindiket penipuan yang bergerak aktif untuk menjerat mangsa antaranya Macau scam, penipuan cinta, pekerjaan, bungkusan serta pinjaman online,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE