ALOR SETAR – Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM44,600 di bawah Program Penjana 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kerjaya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Asyraf Omar, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hakim bagaimanapun menetapkan 7 November depan untuk fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu borang pengesahan pekerja program inisiatif pengambilan pekerja atas nama Perusahaan Syarikat Asyraf Omar Legacy bertarikh 11 Mei 2021.
Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana tersebut berjumlah RM44,600 kepada ejen Perkeso yang mana tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen berkenaan palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Kedah, di sini pada 16 Mei 2021. – KOSMO! ONLINE