fbpx

MSAM 2023: Suri rumah dari Penaga menang kereta BYD Atto 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Molin Zawati dan Mohd. Khairil masing-masing bergambar bersama hadiah yang dimenangi mereka sempena MSAM 2023 di Setia Fontaines, Bertam, semalam. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Pengunjung bertuah, Molin Zawati Saaid, 60, dipilih sebagai pemenang hadiah utama berupa sebuah kereta jenis BYD Atto 3 bernilai RM150,000 sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berlangsung di Setia Fontaines, Bertam di sini, kelmarin.

Program yang berlangsung bermula 30 September sehingga 8 Oktober itu turut menyaksikan beberapa pemenang bertuah lain yang turut memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya motosikal Yamaha LC dan televisyen pintar.

Molin yang merupakan suri rumah dari Penaga, Seberang Perai Tengah (SPT) itu turut menzahirkan rasa syukur kerana buat pertama kali dalam hidupnya berjaya memenangi hadiah sebuah kereta mewah.

“Saya ke sini bersama anak dan menantu pada Ahad lalu semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan program ini.

“Memang terkejut apabila pihak penganjur hubungi saya dan memaklumkan yang saya merupakan pengunjung bertuah yang terpilih untuk menerima kereta itu.

“Perasaan teruja memang ada, namun disebabkan saya tidak memiliki lesen kereta, mungkin saya akan jual kepada anak dengan harga ‘istimewa’,” katanya dalam nada berseloroh kepada Kosmo! di Setia Fontaines, Bertam di sini, semalam.

Sementara itu, pemenang motosikal menerusi pertandingan kuiz harian, Mohd. Khairil Irwan Jamaludin,33, pula terkedu apabila kehadirannya bersama isteri ke Karnival Literasi Kewangan Terbesar dari Sungai Petani di Kedah akhirnya membuahkan hasil.

“Memang tak sangka dapat hadiah berupa sebuah motosikal Yamaha LC dengan hanya memuat naik aplikasi PNB Events, saya menjawab soalan yang dikemukakan dengan pantas.

“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan penganjur bahawa berjaya memenangi sebuah motosikal. Kalau nak diikutkan, saya sasarkan hadiah utama iaitu sebuah rumah teres, tetapi ini juga rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan saya terima dengan gembira,” katanya yang bekerja sendiri.

Sempena MSAM 2023, pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta de­ngan hadiah utamanya adalah rumah teres di Setia Fontaines, kereta BYD Atto 3 Standard Range dan Toyota Vios 1.5G AT.

Antara rakan korporat MSAM 2023 adalah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Hol­dings Berhad, S P Setia Berhad selaku Rakan Premier.

Selain itu, Rakan Utama MSAM 2023 adalah Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Perodua, MNRB Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, manakala Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. dalam kategori Rakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI