PETALING JAYA – Lagu Malampagi dendangan Saixse yang menjadi siulan ramai sejak beberapa bulan lalu didakwa mengandungi lirik bertentangan dengan akidah.
Perkara itu disuarakan seorang individu menerusi penulisannya dalam Facebook dengan mengupas bait lirik korus lagu itu yang menonjolkan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda.
“Liriknya seolah-olah ditulis oleh orang yang tiada iman. Lagu ini menceritakan tentang pemuda fasiq yang hidup bergelumang dengan maksiat, mengalami kekecewaan yang teruk akibat putus cinta.
“Bagi mengubati hati lara, dia berparti atau ke kelab malam. Kadang-kadang dia sekadar duduk-duduk kerana murung.
“Ada kalanya dia menari untuk mengubati kesedihannya. Semua ini digambarkan dalam baris korus,” dakwanya dalam satu tulisan.
Individu terbabit turut mendakwa penulis dan penyanyi lagu tersebut tidak menjaga sensitiviti masyarakat dan agama.
“Penyanyi dan penulis liriknya ialah Saixse dan MK K-Clique (dalam versi remix). Kedua-duanya Muslim.
“Tidak dapat dibayangkan bagaimana Muslim boleh terlibat menghasilkan lagu sekotor dan sejijik ini. Kamu tidak ada otakkah?
“Semoga Allah melaknat orang yang terlibat merosakkan akhlak dan sahsiah remaja-remaja Islam dengan lagu-lagu seumpamanya. Hancur kamu di dunia, hancur kamu di akhirat,” tulisnya.
Individu itu turut menasihati pengkarya agar lebih peka dan berhati-hati agar tidak menghasilkan lagu membawa pengaruh negatif kepada pendengar khususnya anak muda.
“Lagu Malampagi yang menjadi siulan ramai ini memang bermasalah.
“Bayangkan jutaan peminat lagu ini sebahagiannya terdiri daripada remaja dan kanak-kanak, diracuni pemikirannya dengan kefasiqan melampau,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malampagi yang dilancarkan pada 3 Disember lalu dinyanyi Saixse yang berasal dari Singapura.
Sejak diperdengarkan kepada umum, lagu itu tular bahkan video muziknya mencatat 5.6 tontonan dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE