JAKARTA – Kebakaran hutan yang marak di Sumatera Selatan sejak beberapa hari lalu menyebabkan ibu negeri wilayah berkenaan, Palembang ‘hilang’ kerana jerebu terlalu tebal, lapor media tempatan hari ini.
Menurut saluran berita CNN Indonesia, jerebu yang masih meliputi bandar Jambi dan Palembang mendorong pemerintah mengarahkan sekolah-sekolah melaksanakan pembelajaran secara online.
Arahan supaya pelajar mengikuti kelas online dari rumah dikeluarkan oleh Perkhidmatan Pendidikan Wilayah Jambi. Arahan tersebut bermula hari ini dan esok.
Pembelajaran secara online turut dilaksanakan di Palembang ekoran jerebu di bandar berkenaan masih serius, demikian menurut portal berita detikSumbagsel.
Sekolah-sekolah di Palembang juga mula melaksanakan sistem pembelajaran secara online hari ini.
Dalam pada itu, kualiti udara di Palembang memasuki tahap bahaya dengan mercu tanda bandar tersebut, Jambatan Ampera nyaris ‘hilang’ daripada pandangan akibat jerebu terlalu tebal.
Gambar dari udara yang dirakam semalam menunjukkan jambatan itu hampir tidak kelihatan kerana jerebu, manakala data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik menunjukkan kualiti udara di Palembang berada pada tahap bahaya, kesan daripada kebakaran hutan di Sumatera Selatan. – AGENSI