JAKARTA – Seorang peniaga dikenali dengan nama Bang Madun mendapat sumbangan wang daripada seorang penderma tidak dikenali untuk membesarkan warungnya setelah kualiti makanannya dikritik oleh pengulas makanan, lapor portal berita Sripoku semalam.
Bang Madun yang merupakan pemilik warung Madun Osen Nyak Kopsah berkata, dia akan membesarkan kedai yang sudah dibina sejak 25 tahun lalu di Tangerang hasil sumbangan seorang penderma misteri yang datang ke rumahnya pada waktu malam.
“Ada dermawan mahu ubah suai warung saya. Penderma itu datang ke rumah saya pukul 11 malam,” kata Bang Madun.
Pada masa ini, Bang Madun masih merahsiakan identiti penderma itu tetapi akan memperkenalkannya kepada orang ramai di masa hadapan.
Sebelum ini, Bang Madun marah kerana warungnya itu diberi ulasan negatif oleh seorang pengulas makanan dikenali sebagai Aa ju dan Codeblu. – AGENSI