fbpx

8 empangan dikenal pasti datang ancaman kepada penduduk, harta benda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak lapan daripada 41 empangan seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya.

Perkara tersebut disahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui laporan status pemeriksaan keselamatan empangan-empangan itu oleh Pasukan Flying Squad yang dijalankan antara tahun 2021 dan 2022.

Lapan empangan itu melibatkan Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang, Perak, Empangan Sultan Abu Bakar, Pahang, Empangan Babagon, Sabah, Empangan Bakun, Sarawak dan Empangan Kenyir, Terengganu.

NRECC berkata, hasil pemeriksaan menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

“Kerosakan ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.

“Oleh itu, NRECC memberi perhatian serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini.

“Malah, Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut mengalami kerosakan yang agak teruk dan perlu dipulihkan segera,” katanya di sini, hari ini.

Kata NRECC, kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan tersebut dianggarkan sebanyak RM135,820,000 dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.

Jelasnya, sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, Kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan.

NRECC bercadang untuk meneruskan fungsi Flying Squad untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan-empangan lain terutamanya yang berusia lebih daripada 50 tahun.

“Struktur dan tanggungjawab Flying Squad juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Dam Technical Centre (DTC).

“Pasukan Flying Squad merupakan struktur ad-hoc yang diselaraskan Bahagian Bekalan Air (BBA), NRECC dengan keahlian terdiri daripada pakar daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selain itu turut melibatkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pihak swasta,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan empangan oleh Flying Squad menggunapakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh JPS iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI