MANCHESTER – Menjelang perlawanan kedua Liga Juara-Juara (UCL), Manchester United menerima khabar yang agak melegakan apabila lawan mereka, Galatasaray akan tiba di Old Trafford pada aksi awal pagi esok tanpa kelibat seorang pemain berpengaruh.
Laporan media di Turkiye mendedahkan, Galatasaray terpaksa akur kehilangan khidmat Hakim Ziyech yang sekali gus melegakan skuad kendalian Erik Ten Hag ketika pemain itu memiliki sentuhan jaringan yang cukup baik.
United berdepan permulaan musim yang cukup sukar apabila tewas dalam empat daripada tujuh aksi Liga Perdana Inggeris untuk menghuni kedudukan ke-10, malah mereka tewas 3-4 kepada Bayern Munich pada aksi pembukaan UCL sebelum ini.
Masalah utama yang melanda United menyebabkan mereka berdepan krisisi prestasi itu adalah isu kecederaan yang melanda pemain utama khususnya di bek kiri apabila kehilangan Luke Shaw dan Tyrell Malacia, malah pemain yang dipinjam untuk mengisi kekosongan itu, Sergio Reguilon juga turut mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, pengendali pasukan itu, Erik Ten Hag tidak mempunyai pilihan lain kecuali perlu memastikan United mampu mencatat kemenangan pada aksi menentang Galatasaray bagi memulihkan semula reputasi mereka.
Kemenangan itu juga penting kerana mereka berdepan dua kekalahan berturut-turut di Old Trafford apabila tewas kepada Brighton dan terbaharu tunduk 0-1 menentang Crystal Palace menyebabkan tekanan terhadap Ten Hag memuncak.
Kemenangan ke atas Galatasaray penting buat United untuk mereka kembali memberikan cabaran dan mencerahkan laluan untuk meraih dua kedudukan teratas Kumpulan A yang turut disertai FC Copenhagen sekali gus layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. – AGENSI