fbpx

Pusat Tesla pertama di Malaysia dibuka secara rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul ketika perasmian Pusat Tesla di Cyberjaya, hari ini. - Foto MITI

CYBERJAYA – Syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Tesla hari ini secara rasmi membuka Pusat Tesla pertama di negara ini.

Terletak bersebelahan pejabat firma teknologi terkenal Jepun, NTT Data di Persiaran Apec, premis berkeluasan 5,110 meter persegi itu berperanan sebagai pusat sehenti.

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, bangunan dua blok itu memuatkan bilik pameran, jualan, sistem pengecas super, auditorium, ruang kerja dan pusat servis.

“Uniknya, kami mengambil masa cuma selama dua bulan sahaja bagi menyiapkan pusat ini yang kini sudah mempunyai lebih 30 kakitangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian pusat itu di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada majlis itu, Isabel turut mengumumkan model 3 akan mula dihantar kepada pelanggan menjelang akhir tahun ini manakala model Y pula dijangka awal tahun depan.

“Untuk model 3 yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi itu ditawarkan pada harga runcit mulai daripada RM189,000 untuk varian pacuan roda belakang (RWD).

“Sementara model Y yang dianggap sebagai model ’crossover’ dijual pada harga bermula RM199,000 untuk varian RWD dan sudah dilancarkan di Kuala Lumpur, pada Julai lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika berucap memuji peranan dimainkan Tesla dalam memacu ekosistem EV di negara ini selain menjana peluang pekerjaan dan menyokong automotif tempatan.

Pelaburan dalam sektor itu juga katanya, merekodkan nilai mencecah RM26.2 bilion dari 2018 sehingga Mac lepas dan trend tersebut selaras dengan perkembangan EV sejagat.

“Menjelang 2030, kita berhasrat agar ekosistem ini sumbang 15 peratus daripada ‘volume industri total’ malah menjadi 38 peratus pada 2040 dan 80 peratus pada 2050,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI