BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 100 kilogram (kg) kacang panjang dari Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.
Rampasan kacang panjang dianggarkan bernilai RM600 itu dilakukan kira-kira pukul 10.55 malam.
Pengarahnya, Lily Rosalind Paul berkata, hasil keluaran pertanian itu dibawa masuk menggunakan sebuah lori dari Thailand.
“Hasil pemeriksaan rutin oleh pegawai Maqis mendapati kacang panjang itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import.
“Ia melibatkan kegagalan dalam mematuhi aspek penggredan, pembungkusan dan pelabelan seperti dinyatakan dalam sijil 3P,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaaan undang-undang akan terus diperluaskan lagi di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Tindakan itu adalah bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya. – K! ONLINE