PUTRAJAYA – Malaysia Influential Educator (MIE) telah menobatkan seramai 585 pendidik daripada pelbagai bidang untuk menerima pengiktirafan atas kejayaan dan pencapaian luar biasa mereka.
Presiden MIE, Tiffany Tan Tian Yee berkata, ini adalah platform terbaik buat warga pendidik bukan sahaja untuk mereka yang berpengalaman luas tetapi terbuka juga yang baharu terlibat dalam bidang tersebut untuk memperlihatkan hasil didikan masing-masing kepada masyarakat.
Ia bukan semata-mata menjurus kepada kerjaya sebagai seorang guru di sekolah kerajaan atau swasta tetapi turut melibatkan tutor, guru tuisyen, guru pendidikan awal kanak-kanak dan juga mereka yang terlibat pengajaran bidang kemahiran seni.
Menurut beliau, MIE bakal menjadi jenama peribadi yang baik untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan masyarakat untuk kelangsungan kerjaya mereka pada masa depan.
“MIE ditubuhkan untuk menghargai individu cemerlang dalam bidang pendidikan kerana sepanjang karier mereka, individu ini telah memperlihatkan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing.
“Mereka juga mengamalkan prinsip dan amalan terbaik, sehubungan itu contoh serta teladan yang baik itu akan dihargai dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah MIE di sini baru-baru ini.
Tian Yee menjelaskan, bayaran pencalonan untuk menerima anugerah tersebut adalah sebanyak RM3,500 seorang dan mereka perlu melalui beberapa proses penilaian yang ketat daripada sebuah jawatankuasa yang terlibat dalam MIE. -KOSMO!ONLINE