PUTRAJAYA – Jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia meningkat sebanyak satu peratus kepada 173,746 pada 2019 berbanding 172,031 pada 2018.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar kematian kasar kekal pada 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk bagi tempoh yang sama.
Beliau berkata, daerah Kanowit di Sarawak mencatatkan kadar kematian kasar tertinggi pada 2019 dengan 8.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.
“Manakala daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan kadar kematian terendah sebanyak 0.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.
“Perubahan struktur umur penduduk adalah antara penyumbang kepada peningkatan bilangan dan kadar kematian di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Uzir berkata, selari dengan peningkatan dalam jumlah penduduk tua di Malaysia (65 tahun ke atas) iaitu daripada 1.4 juta orang pada 2010 kepada 2.3 juta orang pada 2020, kadar kematian menunjukkan sedikit peningkatan tetapi dengan kadar perlahan setiap tahun mulai 2011 sehingga sekarang.
“Kadar kematian kasar lelaki lebih tinggi berbanding perempuan iaitu 5.9 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki.
“Laporan sama menyebut, 54 kelahiran mati bagi setiap 10,000 kelahiran. Selain itu, sebanyak 21.1 kematian ibu bersalin direkodkan bagi setiap 10,000 kelahiran hidup,” katanya.
Laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 merangkumi mengenai statistik kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi 2019.
Statistik tersebut merupakan input utama untuk penggubalan dasar dan perancangan program bagi bidang kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain. – K! ONLINE