PETALING JAYA – Pintas Utama meneruskan komitmennya menaja sumbangan set beg kepada para jemaah haji Malaysia sejak April lalu untuk kegunaan ribuan jemaah yang berdaftar di bawah Tabung Haji (TH) sepanjang Musim Haji 1444H/2023.
Tajaan beg berkenaan oleh syarikat kejuruteraan itu bertujuan memudahkan mobiliti para jemaah sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima tersebut.
Keselesaan para jemaah membawa barangan mereka juga diambil kira dengan pemberian beg kasut yang ringan dan bersaiz besar selain keseragaman warna beg.
Ia bertujuan memudahkan pihak bertanggungjawab mengenali kelompok jemaah Malaysia.
Penajaan tersebut turut mendapat penghargaan TH di bawah Program Sahabat Korporat untuk diteruskan pada musim haji akan datang iaitu bermula pada tahun 2024 sehingga 2026.
Plak penghargaan atas sumbangan dan komitmen Pintas Utama disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Ketua Pegawai Operasi, Faris Hussein selaku wakil Pintas Utama sempena Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji & Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur hari ini.
Pintas Utama merupakan antara lebih 30 syarikat korporat yang telah menjadi rakan strategik TH dalam menyantuni golongan Duyufurrahman (Tetamu Allah). – KOSMO! ONLINE