fbpx

Saman fitnah: Mahkamah tolak permohonan Mahathir, minta Anwar kemuka dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Perdana Menteri itu.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain menolak permohonan tersebut dengan kos sebanyak RM2,000.

Muhammad Rafique berkata, mahkamah memutuskan demikian dengan alasan penolakan itu adalah berdasarkan isu dalam pembelaan terpinda iaitu Anwar selaku defendan, mengenai suatu acara atau peristiwa yang berlaku pada masa lalu tetapi tidak dinyatakan sesuatu dokumen.

Beliau berkata, mahkamah mengambil kira jika terdapat dokumen berkenaan, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat pra-perbicaraan.

“Beban masih pada defendan untuk kemukakannya (dokumen),” kata Muhammad Rafique ketika dihubungi di sini.

Dalam prosiding hari ini, peguam, Aliff Benjamin Suhaimi hadir bagi pihak Anwar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 November ini untuk pengurusan kes, bagi kedua-dua pihak memberi makluman mengenai permohonan interlokutori lain.

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei lalu, Dr. Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres berkenaan.Dr.

Dr.Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Dr. Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Menurut Dr.Mahathir, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Sedangkan kenyataan-kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini mendakwa, saman yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir adalah bagi melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan bekas Ahli Parlimen Langkawi bertarikh 3 Mei lalu, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera, kerana enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn. Bhd. yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Sementara, isteri Mukhriz, Datin Seri Norzieta Zakaria katanya, merupakan pemegang saham majoriti Opcom dan pengarah syarikat tersebut sejak 18 Ogos 1999.

Menurutnya, anak sulung plaintif iaitu Datuk Mirzan juga bertindak pemegang saham syarikat berkenaan.

Defendan berkata, syarikat sama turut diberikan kontrak bernilai RM11.15 juta oleh Telekom pada 14 Mei 2018 bagi pemasangan dan pemulihan perkhidmatan-perkhidmatan Unifi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI