KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penggunaan MyKad untuk membeli minyak masak peket berbanding pengenalan diri khas (ID)
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, berhubung pembelian yang dilakukan peniaga mikro pula ia perlu dibincangkan kerana tidak semua golongan itu yang mendaftar perniagaan.
“Sekiranya memudahkan dengan ‘link’ (oautan) kepada MyKad kita boleh pertimbangkan. Berhubung peniaga mikro kita perlu bincang lagi sebab bukan semua berdaftar.
“Apapun relaks…kita belum muktamadkan mekanisme. Kita cuma sudah memuktamadkan penerima libat urus berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Fuziah memaklumkan, hanya mereka yang layak dan mempunyai ID boleh mendapatkan minyak masak peket selepas kerajaan melaksanakan subsidi bersasar yang dijangka bermula tahun depan.
Langkah itu ekoran aduan minyak masak bersubsidi tiada di pasaran sedangkan kerajaan mengeluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan.
“Dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID dan disahkan layak boleh mendapatkan minyak masak peket.
“Ramai yang bertanya mengapa tidak menggunakan IC (MyKad) atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” katanya.
Pengumuman itu bagaimanapun mengundang kritikan ramai yang berpandangan penggunaan MyKad adalah lebih wajar dan memudahkan untuk urusan pembelian minyak masak berpeket. – KOSMO! ONLINE