Sempurna itu membosankan. Begitulah pendirian yang pernah diungkap supermodel sensasi, Tyra Banks. Kini, jenama fesyen antarabangsa, Gucci membuktikan bahawa untuk menjadi seorang model, kesempurnaan bukanlah segala-galanya.
Ketidaksempurnaan juga mempunyai daya tarikan. Tidak kira bagaimana rupa paras, warna kulit mahupun jenis kecacatan individu, definisi kecantikan dewasa ini telah jauh berubah.
Terbaharu, Gucci melakar sejarah apabila mengambil seorang remaja perempuan sindrom Down untuk menghiasi kempen kecantikannya. Ellie Goldstein, 18, berasal dari Ilford, Essex, England dipilih sebagai wajah untuk kempen #theguccibeautyglitch. Ia selaras dengan usaha Gucci untuk menyokong bakat baharu dan mempromosikan kecantikan bukan konvensional.
Bagi Goldstein, menjadi model memang impiannya sejak kecil. Biarpun dilahirkan dengan masalah sindrom Down, gadis yang mengidolakan legenda Hollywood Marilyn Monroe itu seorang yang menyukai kecantikan.
“Ia cukup mengagumkan. Saya sangat menyukai mekap. Saya menyolek kerana percaya dapat menyerikan wajah memandangkan saya mempunyai kulit yang pucat. Memori kecantikan terawal saya adalah apabila kakak saya menyolek saya sewaktu berusia dua tahun. Pada masa itu, kakak saya berumur 10 tahun,” katanya kepada majalah Vogue Britain baru-baru ini.
Goldstein juga melakar sejarah apabila menjadi model sindrom Down pertama yang tampil dalam majalah fesyen paling berpengaruh Vogue.
Goldstein menceburi bidang peragaan sejak berusia 15 tahun. Ibunya, Yvonne mendapat tahu mengenai agensi peragaan Britain, Zebedee Management yang menitikberatkan kecantikan di luar kelaziman, lalu mencuba nasib anaknya untuk menyertai agensi itu memandangkan suka bergaya di depan kamera.
Berhubung kempen Gucci yang dibintanginya, Goldstein berasa sangat gembira atas peluang dan kepercayaan yang diberikan.
“Saya cukup kagum dan seronok menjadi sebahagian daripada kempen kecantikan Gucci. Apabila melihat imej yang dipaparkan Gucci, saya berasa bangga dengan diri sendiri. Semua tanda suka dan komen yang diterima di media-media sosial dari seluruh dunia sungguh mengharukan saya,” ujarnya.
Bercerita bagaimana dirinya berurusan dengan pihak-pihak dalam bidang peragaan, Goldstein berkata, kebanyakan orang memandangnya agak janggal dan mereka sering berurusan terus dengan ibunya.
“Apabila meminta untuk menandatangani sesuatu, mereka bercakap dengan ibu. Ini mencabar bagi saya sehinggalah mereka menyedari saya juga boleh berkomunikasi seperti orang lain, cuma sedikit perlahan dalam mempelajari sesuatu,” katanya.
Goldstein sangat gembira dengan pencapaiannya dan tidak mahu memikirkan kata-kata orang tentang kekurangan dirinya.
“Tunjukkan kepada dunia bahawa semua orang boleh menjadi model.
“Harapan dalam bidang ini adalah untuk menjadi terkenal dan wajah saya dipaparkan di muka depan majalah terkenal antarabangsa,” katanya.