JAKARTA – Seorang ibu mengamuk di sebuah sekolah rendah kerana marah setelah anaknya diberikan suntikan vaksin tanpa kebenaran daripadanya terlebih dahulu, lapor portal berita detik sumut semalam.
Kejadian berlaku di wilayah Maluku, baru-baru ini.
Ibu yang merupakan isteri seorang anggota polis itu juga berang kerana kenyataan pihak sekolah menyinggung perasaannya.
Ketua Polis Maluku, M Roem Ohoirat berkata, wanita itu mengamuk kerana dia tidak dapat menerima bahawa anaknya disuntik vaksin tanpa izin, manakala maklum balas pihak sekolah menyebabkan dia kesal.
Dalam pada itu, Setiausaha Yayasan Pendidikan Katholik, Amboina John Dumatubun menyatakan, sekolah berkenaan tidak memberikan suntikan vaksinasi sebaliknya hanya membenarkan murid-muridnya menerima suntikan imunisasi.
Menurutnya, maklumat kejadian itu sudah diperoleh pihak polis.
Kejadian itu berlaku di Sekolah Dasar Xaverius Ambon, Kota Ambon pada Rabu lalu dan video isteri anggota polis itu mengamuk tular di media sosial. – AGENSI