BENTONG – Penularan video yang tular kononnya bekalan beras di pasar raya habis menjadi antara punca yang mencetuskan pembelian panik seterusnya menyebabkan berlaku kekurangan bekalan beras di pasaran.
Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehubungan itu roang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik beras putih tempatan dengan membeli beras mengikut keperluan bulanan keluarga dan tidak menyimpan stok bagi memastikan bekalan berkenaan tidak mengalami kekurangan.
“Kalau sebulan sekampit beli sekampit, kalau perlu dua kampit tiap-tiap bulan beli dua kampit sebab bulan depan beli lain.
“Tetapi bila harga beras import naik melambung sampai RM37, RM40, mereka cari beras tempatan, bila cari beras tempatan pula ada main dalam video dan sebagainya bahawa bulan depan tak ada beras.
“Jadi orang ramai pun serbu pergi beli beras yang sebelum dia guna sekampit tetapi dia beli tiga. Bila dia beli tiga dia ambil yang orang lain dua kampit. Yang dua kampit pula dia beli empat,”katanya pada Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, di sini semalam.
Dalam pada itu Mohamad mengakui isu bekalan beras berlaku ekoran keputusan India yang menamatkan eksport, namun tidak menolak keadaan itu akan kembali reda dengan pelan jangka panjang dan pendek yang sedang dilakukan pihak kerajaan.
Katanya, antara usaha dilakukan termasuk cadangan agar premis kerajaan seperti asrama sekolah, kem tentera dan hospital membeli beras import berbanding beras tempatan bagi menangani bekalan makanan itu di pasaran.
“Kita akan bincang dengan Perdana Menteri (hari ini) kalau sudah bersetuju semuanya, agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka membeli beras import.
“Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu jangka pendek,”katanya.
Selain itu katanya, Mohamad turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kini berusaha ke arah tuaian hasil padi selama lima musim untuk tempoh dua tahun dan usaha ini memerlukan tempoh beberapa tahun. – KOSMO! ONLINE