fbpx

2 pertuduhan Guan Eng akan dipinda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulang Pinang akan memohon untuk meminda dua daripada empat pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan permohonan untuk meminda pertuduhan itu akan dibuat pada sebutan semula kes pada 21 Disember ini.

Ujar Wan Shaharuddin, sepatutnya hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes itu, bagaimanapun prosiding ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

“Mahkamah memaklumkan tarikh baharu sebutan itu kepada pihak kami melalui e-mail pada 9 November lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, pindaan itu adalah bagi memasukkan ‘waktu’ di dalam pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan mengeluarkan perkataan yang tidak menjadi elemen di dalam pertuduhan menggunakan kedudukan yang dihadapi bekas Menteri Kewangan itu.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eeng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng, didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 11 September, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI