fbpx

Lelaki hempas batu pada kepala kucing diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar CCTV seorang lelaki menghempas batu pada kepala seekor kucing sehingga mati di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rakyat, Alor Setar pada Sabtu lalu.

ALOR SETAR – Seorang individu diburu polis setelah dia dirakam bertindak kejam dengan menghempas batu ke atas kepala seekor kucing sehingga menyebabkan haiwan itu mati di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Rakyat, di sini pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perbuatan kejam lelaki tersebut kira-kira pukul 10.56 pagi, keesokan harinya.

Katanya, perbuatan itu turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tular di media sosial.

“Individu yang membuat laporan polis itu mendakwa dia melihat seekor kucing liar menggelupur dengan mulut berlumuran darah dipercayai dianiaya oleh individu tidak dikenali.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, setakat ini kes masih dalam siasatan dan pihaknya masih berusaha mengesan suspek.

Melalui rakaman yang tersebar di media sosial, lelaki itu dilihat secara bersahaja menghempas batu ke atas kepala kucing tersebut sambil menghisap rokok sebelum berlalu pergi tanpa mempedulikan haiwan berkenaan yang menggelupur menahan sakit.

Mengulas lanjut Syed Basri berkata, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video yang tersebar itu.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berhati-hati dalam menggunakan media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Khairolamin Khalid di talian 019-2585884,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI