ALOR SETAR – Kedua-dua anak jururawat yang maut ditikam suami sendiri di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis semalam belum mengetahui kejadian sebenar yang menimpa ibu mereka itu.
Menurut kakak mangsa yang menjaga dua anak mangsa berusia lapan dan enam tahun itu ketika ini, mereka hanya akan memberitahu perkara sebenar apabila jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan.
“Mereka belum tahu hal sebenar dan kami hanya akan beritahu apabila jenazah bawa pulang nanti. Anak sulung arwah ada tertanya-tanya juga, Mana mama? Mama tak balik kerja lagi kah?
“Mereka masih beranggapan mama mereka masih di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Menurut wanita itu, dia bersama bapa, telah datang ke HSB awal pagi semalam untuk melakukan proses pengecaman mayat ke atas mangsa berusia 31 tahun sebelum proses bedah siasat.
Katanya, dia sekeluarga masih terkejut dengan tragedi yang menimpa anak kelima daripada enam beradik tersebut, namun reda dengan takdir itu malah sudah memaafkan suspek yang dianggap seperti keluarga sendiri itu.
“Berat nak cakap tentang perasaan kami sekeluarga sebab memang rasa ‘sakit’ tetapi kami sudah maafkan suaminya itu. Cuma kami minta kalau ada keputusan (mahkamah) nanti biarlah dia (suspek) diadili seadil-adilnya.
“Kami sudah reda apa yang menimpa arwah termasuk abah sendiri sudah reda,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu. – KOSMO! ONLINE