fbpx

Kembar azam ubah nasib keluarga, lanjut pengajian di USM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hilma Yasarah (kanan) menunjukkan surat tawaran USM kepada adiknya, Hilma Yasirah di rumah mereka di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, hari ini.

BALIK PULAU – Pasangan kembar seiras, Hilma Yasarah Hussain dan adiknya, Hilma Yasirah,19, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila mereka berjaya melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Sains Malaysia (USM).

Malah, tambah menggembirakan mereka, Hilma Yasarah terpilih sebagai salah seorang penerima manfaat program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) USM.

Di bawah program SULUNG USM, Hilma Yasarah memperoleh pengecualian bayaran yuran universiti kecuali yuran penginapan sepanjang tempoh pengajian di USM dan ia dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka yang tergolong dalam kategori keluarga B40.

Bapa mereka, Hussain Syukor, 61, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan manakala ibu mereka, Nooraini Awang, 57, tidak bekerja.

Hilma Yasarah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik berkata, dia dan adiknya memang berazam untuk melanjutkan pengajian sehingga peringkat tertinggi bagi membantu mengubah nasib keluarga mereka.

”Kami berdua faham kesukaran ayah untuk mencari wang bagi memastikan kami dapat melanjutkan pelajaran, jadi semasa kami mahu memohon melanjutkan pengajian ke USM kami dimaklumkan USM ada program SULUNG ini.

”Jadi saya cuba memohon untuk mendapat tempat dalam program SULUNG agar dapat memperoleh pengecualian yuran dan membantu ayah dari segi kewangan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Nelayan di Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Mereka berdua menerima kunjungan daripada Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed. Kedua-duanya turut menerima bantuan wang tunai dan kelengkapan melanjutkan pengajian daripada USM.

Hilma Yasarah berkata, dia dan adiknya akan memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah kewangan ketika belajar nanti.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI