BENTONG – Pengundi sewajarnya bijak memilih wakil rakyat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan pusat dan negeri bagi membantu mereka mengatasi pelbagai masalah dan cabaran semasa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pilihan raya kecil (PRK) bukanlah untuk membentuk kerajaan sebaliknya bagi memilih wakil yang boleh menjadi jambatan penghubung dari penduduk kepada kerajaan.
“Kawasan ini dari segi jarak memang jauh dengan Kuantan mahu pun Kuala Lumpur. Saya percaya kalau jarak sudah jauh, jangan wakil rakyatnya pun jauh dengan kerajaan. Kita pilih wakil rakyat yang ada hubungan dengan pihak kerajaan.
“Sudah tentulah kalau kita mempunyai wakil rakyat yang ada hubungan kerajaan, maka dasar-dasar dan program boleh sampai kepada rakyat yang ada di kawasan ini,”katanya selepas Program Semarak Siswa Madani di Kampung Semerting di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau mengingatkan agar pengundi tidak mempercayai apa yang dijanjikan pembangkang sepanjang tempoh berkempen ini kerana ia tidak mungkin dapat dilaksanakan.
Justeru beliau berharap pengundi bijak memilih wakil rakyat yang benar-benar berkesan dan boleh mewakili mereka serta membantu mereka berhadapan segala masalah dan cabaran.- KOSMO! ONLINE