IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus diberikan keutamaan pada Belanjawan 2024 oleh kerajaan.
Beliau berkata, kedua-dua kementerian tersebut merupakan antara kementerian yang telah mendapat peruntukan terbesar dari kerajaan pada Belanjawan 2023.
“Kementerian Pendidikan memperoleh peruntukan yang sangat besar sebab kita mesti jamin mutu pendidikan yang baik. Untuk tahun ini, Alhamdulillah semua tandas sekolah nampak beres (dibaik pulih) akhir bulan Oktober ini.
“Pertama kali dalam sejarah kita dapat baiki semua tandas sekolah di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu berkaitan kesihatan seperti klinik-klinik dan rumah-rumah sakit akan diberikan kesihatan pada Belanjawan Madani kedua pada 13 Oktober depan.
Katanya, pihaknya mahu memastikan masalah seperti kekurangan peruntukan kepada hospital-hospital yang menjadi punca masalah kesesakan pesakit seperti di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dapat diatasi menerusi belanjawan berkenaan.
“Kita lihat umpamanya apabila saya pergi ke HSA, sesaknya luar biasa dan kebanyakan hospital kita sesak. Ada yang kritik kita sejak kita jadi kerajaan, hospital sesak tetapi ia sudah sesak bertahun-tahun.
“Tetapi oleh kerana tindakan itu tidak pantas dan peruntukan tidak cukup maka sampailah masalah yang begitu rumit sampai sekarang. Jadi saya telah pastikan, Insya-Allah dalam perbincangan dengan jemaah menteri dan juga dengan pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan bahawa fokus kita juga tentang kemudahan kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE