fbpx

Lebih 112,000 isi rumah terima manfaat Skim Perubatan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Seramai 112,887 isi rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima manfaat di bawah program Skim Perubatan Madani sejak diperkenalkan Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam tempoh tiga bulan itu, sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar telah diberikan kepada kumpulan sasar melalui perkhidmatan di 1,587 klinik swasta yang berdaftar melalui skim berkenaan.

Katanya, Skim Perubatan Madani adalah inisiatif baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan Belanjawan 2023.

“Skim yang diperkenalkan pada 15 Jun lalu itu dilaksanakan untuk membantu golongan B40 mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan primer akut di klinik swasta berhampiran kediaman mereka.

“Skim ini dimulakan dengan projek rintis di sepuluh kawasan yang dikenal pasti mempunyai hospital yang mengalami kesesakan sebelum perkhidmatan sama diperluaskan kawasan sasarannya ke seluruh negara pada 15 September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Menurut beliau, perkhidmatan yang ditawarkan menerusi skim itu adalah komprehensif meliputi konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.

“Kerajaan menampung sepenuhnya kos rawatan di klinik swasta ini dan pastinya ia mengukuhkan jaringan perlindungan kesihatan dan membantu meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha menambahbaik skim tersebut dengan mengambil kira input dan cadangan pelbagai pihak agar ia memenuhi keperluan kesihatan rakyat dan pengamal perubatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI